Nangis admin baca. Didoakan semoga Bob Lokman diberi kesembuhan.

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Bakri meluangkan masa menziarahi pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman yang sedang uzur di kediamannya di Sungai Buloh dekat sini pada pagi Rabu.

Zulkifli menerusi Instagramnya memberitahu walaupun keadaan Bob tidak sihat namun dia tetap menyambut kedatangannya selain sempat berbual tentang Tok Kenali seorang ulama tersohor Kelantan dalam lawatan singkat itu.

“Dalam waktu yang amat terhad pagi ini, kami sempat mengunjungi saudara Bob Lokman yang mengalami keuzuran di rumahnya.

“Walaupun begitu, beliau tetapi menggagahkan diri menyambut kami dan sempat berbincang berkenaan keluarga Tok Kenali, seorang ulama tersohor Kelantan,” tulisnya.

Zulkifli memberitahu Bob pernah datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Zulkifli mendedahkan penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) itu pernah datang ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) beberapa tahun lalu.

“Bob Lokman pernah mengunjungi kami di PMWP cawangan Kuala Lumpur beberapa tahun lepas.

“Semoga Allah kurniakan kesihatan kepadanya. Mohon maaf kerana kehadiran agak mengejut dan tidak dapat berbual panjang kerana hambatan masa dan tugas.

Pada Isnin lalu, Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, menerusi Facebook miliknya berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin menurun selain memberitahu kegembiraan yang dilaluinya sebelum ini sudah tidak seperti dahulu.

Bob mengalami masalah jantung bengkak dan paru-paru berair.

“Assalamualaikum Sahabat. Aku jumpa doktor lagi hari ni, rutin seorang tua. Selepas segala kegembiraan dan kesedapan aku lalui, standard sudah berubah.

“Selera makanan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu… Kau fahamlah. Cuma masih ada rasa untuk mencari peluang terbaik seterusnya.

“Sahabat, hari ini kau semua datang kembali dalam realiti, kenangan dan aku mula mengerti bahawa hubungan kita tidak hanya sampai di sini, cuma mungkin aku yang akan mendahului dengan faktor yang aku miliki,” tulisnya.

SUMBER : MSTAR ONLINE

Artikel Berkaitan ..

RAMAI YANG MEMBANTU BOB LOKMAN

PELAKON dan penulis lirik, Bob Lokman berkata dia ada menerima sumbangan daripada orang awam semenjak status bantuan yang dimuat naik oleh sahabatnya tular di laman Facebook.

Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia terkejut apabila mengetahui posting tersebut tersebar di laman sosial.

“Mulanya, kawan saya muat naik status itu di dalam grup kami sahaja, tak sangka pula ada yang kongsikan semula di beberapa page Facebook.

“Apabila status itu viral, ada yang bertanya dan bermurah hati nak membantu. Alhamdulillah, ada la sedikit bantuan yang saya terima,” ceritanya.

Bob dimasukkan ke UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh, Selangor akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada Rabu lalu.

Status yang dimuat naik sahabatnya tular di laman sosial.

Penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) ini turut memaklumkan kesihatannya semakin pulih dan akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat.

“Kesihatan semakin baik, tidak seteruk ketika ditahan di wad tempoh hari. Insya-Allah, saya akan dibenarkan pulang Isnin ini.

“Nak berjalan sangat pun dah tak boleh, cepat letih tapi saya ni jenis tak boleh nak duduk-duduk diam saja.

“Selain mengambil ubat hospital, doktor minta saya mengawal pemakanan dan perlu berdiet. Lepas ini saya kena berehat dahulu,” katanya.

Sementara itu, Bob memaklumkan dia ada menerima bantuan kewangan daripada saudara mara dan teman-teman rapat.

Malah, pendapatannya sebagai penceramah program motivasi yang diterima turut digunakan untuk menyara keluarga.

“Alhamdulillah, ramai sahabat datang menghulurkan bantuan sekadar termampu dan sedikit sebanyak mengurangkan beban tanggungan kesihatan saya.

“Cumanya sekarang kos bertambah kerana perlu beli ubat dan rawatan daripada pakar,” katanya yang aktif dengan kerja bantuan kemasyarakatan bersama Muslim Care.

Dalam pada itu, Bob berterima kasih kepada individu yang bermurah hati menghulurkan bantuan setelah kisahnya tular di laman sosial.

“Terima kasih kepada mereka yang membantu dan semoga kalian dilimpahi rezeki yang lebih luas.

“Insya-Allah, jika ada baki daripada sumbangan yang dihulur ini nanti saya akan bantu orang lain yang memerlukan juga,” katanya.

Bob dan isteri, Relawati Daud, 40, dikurniakan lapan anak iaitu Mohamad Adam, 25, Omar Hakim, 24, Ahmad Sufian, 23, Ahmad Rayyan, 12, Nur Amanee, 10, Luqmanulhakim, 9, Muhammad Danial, 6 dan Nur Amalin, 4.

SUMBER : MSTAR ONLINE

Add Comment